Tuesday, March 8, 2011

Bakal Jurutera ke Tanah Sakura.


MOHAMAD Ashraf Zulkaple, 20, terlalu obses dengan Jepun. Tanyalah apa saja tentang negara Matahari Terbit itu. Baik kebudayaan, politik, perundangan, kumpulan etnik mahupun fesyen terkini, dia mampu menjawabnya dengan mudah.
Kata Mohamad Ashraf, apabila melangkah ke menara gading, dia memilih mengikuti Program Rancangan Persediaan Khas Ke Jepun (RPKJ) di Universiti Malaya (UM). Minat yang mendalam, akhirnya membolehkan Mohamad Ashraf mampu membaca dan fasih bertutur bahasa Jepun dalam masa setahun.
Berpuluh tahun menunggu, pada penghujung Mac ini dia dijadualkan menyambung pengajian di negara yang didirikan oleh Maharaja Jimmu pada abad ke-7 itu.
Pada 10 Februari lalu, Mohamad Ashraf menerima Sijil Tamat Kursus RPKJ. Bukan dia seorang saja tetapi 119 pelajar yang lain turut memperoleh sijil yang sama. Kesemua 120 pelajar itu akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam pelbagai kursus kejuruteraan di beberapa universiti di Jepun.
“Alhamdulillah, impian saya telah jadi kenyataan, jika selama ini hanya melihat Jepun di alam maya, dalam masa beberapa hari lagi saya akan ke sana,” katanya yang bakal melanjutkan pengajian di Universiti Tokyo pada penghujung Mac dalam bidang kejuruteraan mekanikal selama empat tahun.
Dia juga memukau ratusan hadirin yang hadir apabila diberi penghormatan menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili pelajar lain dalam bahasa Jepun.
Pro Canselor UM, Toh Puan Dr. Aishah Ong; Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon dan Menteri yang juga Timbalan Ketua Delegasi Kedutaan Jepun di Malaysia, Koichi Ito juga melahirkan kekaguman mereka dengan kepetahan anak jati Johor itu.
Faten Hakim Mohamad Zaini, 20, turut merasai perasaan yang sama dengan Mohamad Ashraf. Lebih bermakna, apabila Faten diumumkan sebagai penerima Hadiah Buku Lembaga Tabung Amanah Sojitz, Anugerah Khas Pelajar dan hadiah kehadiran terbaik.
Belajar bersungguh-sungguh
Pelajar lain yang turut menerima Anugerah Khas Pelajar ialah Marliza Madung, Mohd. Fadhli Azhari, Muhammad Affan Othman termasuk Mohamad Ashraf.
Selain itu, majlis itu turut menyaksikan 13 orang berjaya menerima bagi Hadiah Pemenang Peraduan Esei Tabung Amanah Sojitz.
“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan peluang yang diberikan tak akan disia-siakan begitu saja,” ujar Faten Hakim. Dia bakal menjadi graduan Universiti Nagoya dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.
Dalam pada itu, Dr. Aishah dalam ucapannya berkata, 120 pelajar ini merupakan kumpulan ke-28 yang akan berlepas ke Jepun bagi melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang kejuruteraan di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, matlamat utama pelajar itu dihantar ke negara itu supaya warganegara Malaysia dapat meniru kejayaan negara Jepun dalam bidang perindustrian, pengurusan, perniagaan dan menerap budaya kerja yang berdisiplin selari dengan Dasar Pandang Ke Timur ilham mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Menjadi harapan kita agar para pelajar kita dapat menerapkan nilai-nilai baik untuk kemajuan kendiri dan negara di samping menjalankan misi utama iaitu memindahkan teknologi moden ke negara ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA, Datin Rosslina Ahmad Mokhtar mengumumkan berita gembira.
“Para pelajar yang cemerlang boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Jepun dengan tajaan dan apa yang perlu dilakukan ialah dengan membuat permohonan kepada kami.
“Justeru, jangan lepaskan peluang keemasan ini dan berbaktilah kepada negara sejurus selepas tamat belajar,” ujarnya.
Sebelum majlis bersurai, Koichi Ito berkata kepada semua pelajar dan kemudian bunyi tepukan gemuruh bergema : “Nippon e yokoso, isshoukenmei benkyou shiteo kudasai (Selamat datang ke Jepun, silalah belajar bersungguh-sungguh).”
(petikan daripada akhbar kosmo 8 Mac 2011, artikel sepenuhnya boleh didapati di pautan ini: klik)

No comments: